Archive for August, 2009

18
Aug
  1. Bekerja lebih daripada apa yang diperlukan.
  2. Proaktif
  3. Bertanggungjawab
  4. Penyabar
  5. Buat apa yang disukai
  6. Jujur
  7. Tetap pendirian
  8. Dapat mengubah kegagalan menjadi satu kejayaan

Bekerja lebih daripada apa yang diperlukan.

Sikap dan cara bekerja yang sentiasa bekerja melebihi apa yang diperlukan.Contohnya bos anda menyuruh anda memberikan 5 cadangan bagaimana meningkatkan jualan syarikat. Rakan anda yang pertama hanya dapat memberikan 3 cadangan, hasilnya dia dimarahi bos. Rakan anda yang kedua memberikan 5 cadangan. Hasilnya dia telah memenuhi target. oleh kerana anda mempunyai sikap seorang jutawan maka anda telah memberikan 10 cadangan kepada bos anda(bodek bos la tu). Sudah tentu bos anda akan tersangat-sangat gembira. Silap haribulan dapat naik pangkat lagi. Secara rasionalnya setiap pekerja adalah merupakan pelaburan, jika pelaburan tidak dapat memenuhi prestasi yang harapkan sudah tentu lebih baik tak payah melabur. Nanti jadi melebur huhu. Walaupun apa kerja yang anda lakukan tetapkan minda “Saya perlu bekerja lebih daripada apa yang diperlukan”.

Proaktif

Sikap tunggu dan lihat adalah lawan kepada sifat Proaktif. Jika seseorang yang ingin berjaya perlu ada dalam diri sikap proaktif bukannya hanya menunggu dan lihat sahaja. Terdapat kisah dimana seorang pemuda di britain mengalami masalah penerbangan ditunda. Apakah yang anda akan lakukan jika pernerbangan anda ditunda?kebanyakan orang pasti akan menunggu pernerbangan yang berikutnya, ataupun melakukan aktiviti lain untuk mengisi masa. Tetapi berlainan pula dengan apa yang pemuda ini lakukan. Dia telah menyewa kapal terbang daripada syarikat lain dan kemudian meminjam whiteboard dan mempromosikan tiket ke destinasi yang ditunda itu. Sekejap sahaja tiketnya laris seperti goreng pisang panas. Semenjak itu bermula syarikat tambang murah pertama dunia iaitu virgin airways.

Bertanggungjawab
Penyabar

Sikap penyabar juga ada kaitan dengan cara berbelanja. contohnya pemuda A dan Pemuda B baru menamatkan pengajian. Setelah mendapat pekerjaan bergaji 2300sebulan,  kedua-dua pemuda mengidamkan sebuah kereta. Setelah beberapa bulan bekerja pemuda A telah membeli sebuah kereta baru Myvi Se berharga 46ribu secara ansuran, manakala pemuda B membeli sebuah kereta kancil berharga 6ribu secara tunai. Pemuda A sering membelanjakan gaji menambah aksesori keretanya mana kala pemuda B sentiasa menyimpan RM 1000 gajinya ke ASB.  Setelah 10 tahun syarikat mengalami kerugian dan kedua-dua pemuda ini telah diberhentikan. Cuba anda perhatikan berapakah jumlah simpanan pemuda A dan B ini. Pemuda A tidak menyimpan wang kerana sentiasa boros berbelanja. manakala pemuda B kini telah mempunyai nilai 160 000 simpanan di ASB termasuk dividen.

Cuba anda renungkan adakah anda merupakan tergolong dalam kategori pemuda A atau B?Pemuda A tidak sabar sentiasa inginkan kepuasan. Manakala pemuda B seorang yang sabar dan sentiasa berjumat cermat untuk masa hadapan. Dengan bermodalkan 160K pemuda B boleh memulakan perniagaan atau melabur dalam bidang hartanah dan menjana pasif income. Manakala pemuda A kini sibuk mencari pekerjaan lain. Lu pikir la sendiri

Buat apa yang disukai

Ramai sering tertanya-tanya perniagaan apa yang bersesuaan jika ingin memulakan perniagaan?jawapannya buat apa yang anda suka. Jika anda sukakan ikan anda boleh bisnes menjual ikan atau menternak ikan, anda sukakan pokok dan tumbuh-tumbuhan mungkin anda berniaga berkaitan tumbuh-tumbuhan. Anda sukakan grafik anda boleh memulakan perniagaan rekabentuk grafik.  Anda sukakan bola?buka pusat futsal ditempat anda. Apa yang perlu anda lakukan adalah buat perkara yang anda suka.

Jujur

Kejujuran adalah sikap yang amat penting, jika kekayaan yang perolehi dari bukan jalan yang baik sudah pasti kekayaan itu tidak akan kekal lama, ada saja masalah yang akan timbul, ini adalah kerana tiada keberkatan dan keredhaan Allah.

Tetap pendirian

Sentiasa fokus dan tetap pendirian contohnya Seorang pemuda cina ingin membangunkan pusat peranginan ditenggah-tengah hutan belantara satu masa dulu dianggap gila. Tetapi berlainan pula sekarang kini pemuda itu merupakan Jutawan terkaya diMalaysia yangmerupakan pengasas pusat peranginan tanah tinggi Genting. Tahukah anda pemuda itu ialah Lim Goh Tong. Jika Lim Goh Tong mendengar cakap-cakap rakannya supaya menghentikan niatnya sudah pasti dia tidak akan berjaya. Jadi tetapkan pendirian anda!pedulikan cakap-cakap negatif yang mahu melemahkan anda!

Dapat mengubah kegagalan menjadi satu kejayaan

Tahukah anda pengasas lampu elektrik, thomas edison telah melakukan percubaan 1000 kali untuk mendapatkan hasil seperti lampu yang anda nampak sekarang.  Edison melihat setiap kegagalan dalam percubaan bukannya menghentikan apa yang beliau lakukan malahan lebih mendorong beliau untuk terus berusaha, kerana merasa semakin hampir dengan kejayaan. Kegagalan adalah tangga menemui kejayaan. Ini bermaksud anda pasti akan merasa kegagalan dahulu sebelum menemui kejayaan. 

Category : Panduan Kejayaan | Blog
13
Aug

tonyfernandez

PELANCARAN penerbangan tambang murah jarak jauh London Stansted-Kuala Lumpur oleh AirAsia X bakal memberikan manfaat kepada ramai orang, tetapi bagi Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd, Datuk Seri Tony Fernandes, ia memberikan makna tersendiri kepadanya.

Bagi Tony, pelancaran perkhidmatan itu menandakan tercapainya sebuah impian yang sudah lama terpendam dalam dirinya, belum lagi dikira ia telah mencetuskan satu revolusi bagi perjalanan udara di antara Eropah dan Asia.

“Ia adalah detik yang sungguh bermakna dan istimewa buat saya,”

katanya ketika berucap di hadapan tetamu dan media antarabangsa yang berhimpun di London County Hall, London bagi majlis pelancaran perkhidmatan penerbangan lima kali seminggu itu yang akan bermula 11 Mac 2009, dengan harga bermula £99 (RM499) sehala.

Sambil mengimbas liku-liku perjalanannya dalam industri penerbangan, Tony berkata, sememangnya impian pertamanya adalah untuk memulakan perkhidmatan penerbangan jarak jauh kos rendah di antara London dan Kuala Lumpur.

“Saya mengimpikan semua ini sejak berusia 12 tahun lagi.”

Apabila saya tiba di sekolah saya di sini, saya ingin terus pulang kerana saya tidak pernah melihat sebuah bilik asrama seperti itu di sepanjang hayat saya memandangkan saya datang dari sebuah tempat yang cantik dan menyenangkan seperti Malaysia.

“Saya terus menelefon ibu bapa saya merayu mereka untuk membenarkan saya pulang.

“Mereka berkata, ‘tidak’ kerana ia terlalu mahal. Bermula dari situlah, saya mula menanam hasrat untuk menzahirkan perkhidmatan penerbangan tambang murah ke Malaysia, dan pada tengah hari ini (Selasa waktu London) pencarian saya akan berakhir,” katanya merujuk kepada bermulanya tempahan tiket secara dalam talian bagi penerbangan di antara Kuala Lumpur-London AirAsia X itu.

Apa yang menarik adalah beliau telah lama menanam impian ini ye anda sendiri boleh baca kata-kata beliau di atas, sejak berusia dari 12 tahun lagi dan sekarang impian beliau telah tercapai.

Inilah yang harus kita contohi walaupun impian beliau setelah sekian lama baru tercapai, namun jika kita berusaha ke arahnya maka tak mustahil. Beliau memang dikenali dengan pemikirannya yang sering “out of the box” yang dimulakan dengan revolusi penerbangan tambang murahnya oleh Air Asia yang suatu masa dulu adalah mustahil bagi kita.

jadi, apa apabila kita mengimpikan sesuatu pastikan kita juga berusaha untuk merncapainya, lambat atau cepat jika diizinkan Allah kita kan mencapainya jua nanti.

Apa yang penting kita harus mula membuat matlamat dengan memasang impian kemudiannya membuat perancangan dan strategi bagaimana untuk mencapai apa yang impian kita tadi.

air_asia_733

(diambil dari Berita Harian Online)

Category : Inspirasi Kejayaan | Blog
10
Aug

WANITA ini mengakui pernah menjadi penoreh getah, hidup penuh kedaifan dan serba kekurangan hinggakan pada suatu ketika bayinya diberi minum sirap bagi menggantikan susu. Kepayahan dan penat jerihnya tidak berbayar dengan kesenangan malah ia pernah meragut nyawa anak keduanya yang sakit dan lumpuh ekoran tidak berwang untuk mendapatkan rawatan terbaik.

Pepatah hina besi kerana karat, hina manusia kerana melarat sungguh terkesan di hati dan mencabar dirinya untuk bekerja lebih kuat bagi memperoleh pendapatan yang selesa.

Sebelum bergelar usahawan yang berjaya dengan empayar perniagaan sendiri, Rozita Ibrahim mengakui pelbagai peristiwa duka melingkari perjalanan hidupnya.

Ketabahan, kekuatan dan sentiasa yakin terhadap usaha sendiri dibalas dengan kejayaan yang mengangkat dirinya menjadi usahawan yang disegani. Baru-baru ini beliau dianugerahkan Usahawan Wanita 2005 oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM). Kepada wartawan RAHANA MD dan jurugambar MOHD. SHAHARANI SHAIBI, Rozita berkongsi sedikit pengalaman hidupnya di ibu pejabat Sendayu Tinggi yang terletak di Bukit Tinggi, Klang, Selangor.

rozita18

Boleh ceritakan sedikit apakah yang mendorong anda untuk berubah? ROZITA: Kesusahan yang melingkari hidup sejak kecil. Dek kerana kemiskinan yang diwarisi daripada keluarga, saya hidup serba kekurangan. Saya dikahwinkan dalam usia belasan tahun dengan lelaki yang bukan daripada golongan senang menjadikan kepayahan yang terbeban berganda.

Di sisi suami, saya menoreh getah dan menjalankan perniagaan kedai runcit namun kami tetap susah.

Jodoh kami tidak lama, di mana akhirnya membawa saya ke kota dan membuat macam-macam kerja daripada kerja kilang, penyambut tetamu, eksekutif promosi dan pemasaran hinggalah ke perniagaan jualan langsung. Terasa lapang sedikit tetapi saya mahu lebih berjaya kerana enggan hidup melarat lagi.

Justeru, apakah yang anda lakukan seterusnya?

Selepas menjalani episod duka yang berterusan saya mengambil keputusan menghasilkan perniagaan sendiri. Alam semula jadi paling hampir dengan kehidupan saya sejak kecil dan saya akui pernah menggunakan tumbuhan hutan untuk mengubat anak kedua yang sakit dan lumpuh semasa saya hidup susah.

Bermodalkan RM400 saya mulakan perniagaan dengan menjadikan herba sebagai sandaran. Untuk meyakinkan pelanggan, saya gemukkan badan, kemudian makan dan amalkan produk yang dijual dan hasilnya memuaskan. Saya lakukan sebanyak tiga kali dan mula menjual dari rumah ke rumah. Sambutan yang diterima menggalakkan dan mendorong saya menubuhkan Sendayu Tinggi Enterprise pada awal tahun 2000 dengan menyewa kedai di Plaza Majlis Perbandaran Klang.

Apakah anda berpuas hati dengan hasil yang dicapai ketika itu?

Syukur, seperti yang direncanakan, perniagaan saya berkembang maju dan sambutan terhadap produk Sendayu Tinggi amat menggalakkan terutama produk pelangsingan badan. Kebetulan ketika itu kebanyakan masyarakat kembali menggunakan produk warisan nenek moyang terutama herba yang sekali gus meningkatkan jualan.

Selepas beberapa tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan yang penuh persaingan dan dugaan, saya mengambil keputusan meluaskan empayar. Kini Sendayu Tinggi Enterprise menubuhkan Sendayu Tinggi Holdings Sdn. Bhd. dan mempunyai sembilan anak syarikat termasuk Sendayu Tinggi Corporation (M) Sdn. Bhd., Sendayu Tinggi Body & Skincare (M) Sdn. Bhd. dan Sendayu Tinggi Cosmetics & Fragrances (M) Sdn. Bhd..

Apakah yang mendorong anda untuk terus mencipta kejayaan?

Anak-anak menjadi iltizam untuk saya terus berjuang meningkatkan pencapaian pendapatan dan ekonomi. Saya pernah menjadi wanita yang hanya mengikut perintah melakukan pelbagai pekerjaan tetapi apabila saya bangun dan berjalan, saya tidak akan menoleh lagi. Saya berjanji kepada anak-anak untuk menjadi ibu yang baik kerana dahulu saya kurang limpahan kasih sayang. Namun, saya belajar daripada pengalaman. Kasih sayang menjadi kunci kebahagiaan selama-lamanya.

Apakah yang anda kongsi dengan masyarakat?

Berkongsi ilmu kecantikan melalui konsep herba di samping menerapkan dalam diri mereka agar berusaha gigih dan tidak putus asa. Selain menawarkan produk yang berkualiti kepada pelanggan, saya turut menyalur sumbangan kepada masyarakat terutama golongan susah, ibu tunggal, anak yatim dan warga tua. Walaupun wang ringgit tidak mampu menandingi nilai kasih sayang tetapi saya dapat menggembirakan mereka. Saya sayangkan masyarakat dan ingin disayangi oleh masyarakat. Harapan utama saya kini mahu membantu mereka terutama ibu tunggal yang susah atau sesiapa sahaja untuk menceburi bidang perniagaan dengan menjadi pengedar Sendayu Tinggi untuk meningkatkan pendapatan.

Apakah rahsia kejayaan yang anda raih?

Ada racun dan ubat dalam diri sesiapa sahaja dan terpulang kepada kita memilihnya. Saya berpegang kepada kejujuran dan keikhlasan yang menjadi santapan rohani dalam urusan perniagaan dan kehidupan. Saya percaya hidup ini umpama roda yang ada kala di bawah dan kemudian berada di atas, lantas semasa di puncak saya minta kepada Tuhan agar tidak lupa diri.

Apakah pencapaian terkini anda?

Sendayu Tinggi telah mempunyai kilang pemprosesan herba bagi produk tradisional dan kilang ini telah memperoleh lesan Amalan Perkilangan Baik (GMP) yang terletak di Pulau Indah, Klang, Selangor. Jumlah pengedar kini lebih 2,000 orang di seluruh Malaysia, Brunei, Singapura dan terbaru di Jepun, China, Taiwan dan Korea.

Ke manakah hala tuju Sendayu Tinggi selepas ini?

Selepas berjaya memenuhi pasaran produk herba tradisional di pasaran Malaysia selama tujuh tahun, saya bercita-cita membentuk usahawan wanita daripada golongan yang kurang bernasib baik dari segi peribadi mahupun pencapaian karier. Kebanyakan jaringan Sendayu Tinggi berjaya dibimbing melalui roadshow yang berbentuk motivasi.

Sumber: http://utusan.com.my

Category : Inspirasi Kejayaan | Blog
7
Aug

EMPAT puluh ahli perniagaan terkaya di Malaysia kini mempunyai kekayaan tergabung bernilai AS$43 bilion (AS$1 bersamaan RM3.38), meningkat 65 peratus daripada AS$26 bilion pada tahun lalu, demikian menurut penyenaraian orang terkaya Malaysia 2007 oleh Forbes Asia.

Lapan pendatang baru yang disenaraikan termasuk Datuk Mokhzani Mahathir dengan kekayaan bernilai AS$220 juta. Jutawan harta, Ong Beng Seng, yang tinggal di Singapura dan orang yang bertanggungjawab membawa perlumbaan Formula One ke republik itu, bukan saja berjaya menyertai senarai itu, malah menjadi pendatang baru terkaya dengan kekayaan bernilai AS$580 juta.

“Raja Gula, Tan Sri Robert Kuok Hock Nien, 84, kekal sebagai orang terkaya Malaysia dengan kekayaan bernilai AS$7.6 bilion, meningkat daripada AS$5.6 bilion tahun lalu,” kata Forbes. Kumpulan syarikatnya, Kuok Group, mempunyai kepentingan dalam pelbagai bidang dari perkapalan, hartanah hingga kepada media. “Ia akan menggabungkan kepentingannya yang besar dalam sektor minyak sawit di Malaysia dan Indonesia dengan Wilmar International, Singapura yang dikendalikan anak saudaranya,” kata majalah itu. Senarai orang terkaya Malaysia itu disiarkan dalam majalah Forbes Asia terbitan 4 Jun yang boleh didapati di pasaran minggu ini.

Mokhzani menduduki tempat ke-28 dalam senarai itu manakala Ong di tempat ke-12. Menduduki senarai kedua terkaya dengan kekayaan bernilai AS$7.4 bilion atau 61 peratus lebih tinggi daripada kekayaannya bernilai AS$4.6 bilion tahun lalu ialah Ananda Krishnan yang baru-baru ini mengumumkan rancangan untuk menjadikan syarikat telekomunikasinya, Maxis Communications Bhd, milik persendirian melalui urus niaga bernilai AS$5 bilion. Beliau diikuti tokoh kasino Genting, Tan Sri Lim Goh Tong, dengan kekayaan AS$4.3 bilion, meningkat daripada AS$1.5 bilion tahun lalu. Forbes berkata, 10 orang terkaya Malaysia menguasai 80 peratus kekayaan yang dipaparkan dalam senarai itu dengan nilai kekayaan kolektif AS$35 bilion, meningkat 63 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Ada lapan pendatang baru, kebanyakannya berjaya ekoran tawaran atau keuntungan yang diraih dalam pegangan awam baru-baru ini.“Mokhzani menyertai senarai orang terkaya ini selepas menjadikan syarikat tenaganya, Kencana, syarikat senaraian awam Disember lalu,” katanya. Raja Datuk Seri Eleena Raja Azlan Shah menduduki tempat ke-25 dalam senarai itu dengan kekayaan bernilai AS$228 juta dan menjadi wanita kedua dalam senarai berkenaan selepas Puan Sri Chong Chook Yew yang menduduki tempat ke-18 dengan kekayaan bernilai AS$320 juta.

Forbes berkata, kekayaan yang dicipta itu dirangsang ekonomi yang berkembang pesat berikutan langkah kerajaan kebelakangan ini termasuk mengurangkan cukai dan pasaran saham yang kukuh, dengan peningkatan lebih 20 peratus setakat ini dan pasaran ketiga terbaik prestasinya di Asia tahun ini selepas China dan Vietnam. Dalam terbitan 4 Jun itu, majalah berkenaan turut menyiarkan rencana mengenai Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd, Datuk Tony Fernandes yang menduduki tempat ke-24 dalam senarai itu dengan kekayaannya bernilai AS$230 juta. — Bernama

Petikan Dari Harian Metro Tarikh 25hb Mei 2007

Category : Inspirasi Kejayaan | Blog
5
Aug

datuklowDatuk Low Boon Siew berasal dari Kampung Hui, daerah Fukian, sebuah wilayah yang di anggap paling miskin di China pada satu ketika dahulu. Kehidupan keluarga Datuk Low sangat miskin menyebabkan beliau tidak pernah berpeluang ke sekolah.

.
Sejak kecil lagi beliau bekerja mengutip najis haiwan sebagai baja pertanian dan memancing ikan untuk dijual sebagai tambahan pendapatan keluarganya. Ketika berumur 12 tahun, ayahnya membawanya ke Pulau Pinang untuk berhijrah dan mencari sumber pendapatan. Beliau disuruh oleh ayahnya bekerja di sebuah kedai mekanik.
.
Mereka berdua tidak mempunyai sedikit pun masa untuk bersuka-suka tetapi bekerja kuat untuk menghantar duit untuk keluarga yang berada di China. Untuk memperolehi pendapatan lebih, di sebelah malam beliau membasuh bas dan upahnya 10 sen bagi setiap bas. Ketika berumur 18 tahun, beliau tertarik untuk berniaga sendiri dan sering memikirkan cara bagaimana untuk mendapat peluang berbuat demikian.
.
Hasil daripada wang yang disimpan sedikit demi sedikit, dia kemudian membeli beberapa peralatan mekanik bernilai RM 10.00 dan 8 buah bas berharga RM200.00 untuk diperbaiki dan dijadikan bas penumpang. Bas ini mendatangkan hasil lumayan kepada beliau iaitu RM1.20 hingga RM 1.40 sehari.
.
Setiap keuntungan disimpan sedikit sementara bakinya dijadikan modal pusingan semula. Dalam masa 7 tahun beliau mempunyai 40 buah bas dan membuka kedai bateri serta barang ganti kenderaan. Selepas perang dunia kedua tamat, Datuk Low meluaskan perniagaannya dengan membuka kedai kereta terpakai dan menjadi ejen pengedar beberapa jenis motosikal keluaran British.
.
Dalam tahun 1958, beliau melawat Jepun untuk makan angin. Di Jepun beliau ternampak sebuah motosikal Honda yang belum pernah digunakan di Malaysia dan berfikir mungkin mendapat pasaran baik jika dibawa ke sini. Setelah mengesan siapakah pengeluarnya, beliau membuat perjanjian untuk memesan 12 unit. Motosikal ini kemudian dijual kepada kawan rapatnya tanpa mengambil apa-apa untung.
.
Motosikal Honda yang dibawanya ditertawakan oleh orang ramai yang menganggap ia tidak berguna dan cepat rosak, namunia tidak mematahkan hasratnya untuk memperkenalkan motosikal sehingga menjelang tahun 1963, motosikal Honda menjadi kenderaan yang paling diminati.
.
Beliau adalah orang yang berjaya menempatkan kereta jenis Honda sebagai kenderaan ketiga terbesar dijual di negara ini sejak 3 tahun lalu. Kini beliau mempunyai alasan untuk berbangga dengan kejayaannya di dalam alam perniagaan dan tokoh korporat, sekali gus meletakkan beliau sebagai seorang yang terkaya di Pulau Pinang dan antara 10 tokoh usahawan terkemuka di Malaysia.
.
Adalah menjadi pengetahuan umum, Datuk Low tidak pandai menulis namanya secara tepat setelah belajar sekian lama. Namun begitu memiliki satu pasukan profesional untuk berkhidmat dengannya.
Category : Inspirasi Kejayaan | Blog
5
Aug

mokhtarTan Sri Syed Mokhtar mempunyai tujuh orang adik beradik dan dia adalah anak yang ketiga. Tan Sri Syed Mokhtar hidup dalam keadaan yang serba kekurangan hinggakan rumah kayunya yang terletak di Kampung Hutan Keriang tidak mempunyai katil, meja mahupun kerusi. Ini menyebabkan beliau susah hendak menelaah.

TAN Sri Syed Mokhtar al-Bukhary adalah usahawan yang banyak menderma dan banyak melakukan kerja-kerja amal.

Latar belakang kehidupan

Tan Sri Syed Mokhtar dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada tahun 1951. Keluarganya berasal dari Hadhramaut, Yemen. Sebelum mengambil keputusan menetap di Kedah, bapanya mengembara hingga ke Asia Tengah untuk berniaga. Seterusnya, bapanya ke Thailand. Pada pertengahan tahun 40-an, barulah bapa Tan Sri Syed Mokhtar mengambil keputusan menetap di Alor Setar, Kedah. Pada tahun 1946, bapanya mendirikan rumah tangga.

Tan Sri Syed Mokhtar mempunyai tujuh orang adik beradik dan dia adalah anak yang ketiga. Tan Sri Syed Mokhtar hidup dalam keadaan yang serba kekurangan hinggakan rumah kayunya yang terletak di Kampung Hutan Keriang tidak mempunyai katil, meja mahupun kerusi. Ini menyebabkan beliau susah hendak menelaah.

Walaupun demikian, setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Keadaan itu juga mendorong beliau supaya memulakan kelas tuisyen percuma sebagai salah satu program kebajikan di bawah Yayasan al-Bukhary yang ditubuhkannya bagi menyumbang ke arah kebajikan. Kini, seramai 15,000 orang pelajar mendapat faedah daripada program tuisyen itu.

Pendidikan

Tan Sri Syed Mokhtar memulakan persekolahannya di Alor Setar tetapi apabila beliau berusia 9 tahun, beliau dihantar tinggal bersama-sama dengan bapa saudaranya, Syed Omar di Johor Bahru. Beliau berada di situ dari darjah empat hinggalah ke tingkatan dua. Tan Sri Syed Mokhtar kemudiannya kembali ke kampung halamannya di Alor Setar dan menyambung persekolahannya hingga ke tingkatan lima di Sekolah Saint Micheal’s.

Sebenarnya, Tan Sri Syed Mokhtar bukanlah orang yang berpendidikan tinggi. Beliau tidak pernah belajar hingga ke peringkat universiti. Namun, ini tidak bermakna beliau seorang yang tidak berilmu. Kebanyakan ilmunya diperoleh melalui pengalaman secara langsung apabila beliau bergiat dalam dunia perniagaan sejak kecil lagi.

Membantu keluarga

Disebabkan keadaan keluarganya yang kurang berkemampuan, Tan Sri Syed Mokhtar membantu ibunya menanam sayur-sayuran bagi menampung pendapatan keluarga. Mereka menjualnya di pasar di Jalan Telok Wan Jah. Beliau juga menjual roti canai di pasar yang sama.

Semasa waktu rehat di sekolah pula, ayahnya akan menemuinya di sekolah dan memintanya membuat simpan kira. Selepas waktu sekolah, Tan Sri Syed Mokhtar membantu menggembala haiwan peliharaan bapanya di pusat kuarantin berdekatan dengan stesen kereta api Alor Setar. Beliau banyak menimba ilmu dan pengalaman semasa melakukan kerja-kerja itu.

Mula berniaga

Pada tahun 1970-an, perniagaan binatang ternakan bapanya mengalami kemerosotan ekoran tercetusnya wabak kaki dan mulut. Wabak itu merebak ke seluruh Selatan Thailand, Kedah dan Perlis. Semua binatang ternakannya mati begitu sahaja. Sejak itu, Tan Sri Syed Mokhtar mengambil alih perniagaan bapanya dan membuat keputusan untuk tidak lagi melibatkan diri dalam bidang penternakan. Beliau mula menjual daging secara kecil-kecilan.

Sebenarnya, Beliau pergi dari pekan ke pekan di sekitar Alor Setar bagi membeli daging yang tidak terjual. Beliau kemudiannya membungkus daging itu bersama ais dan menjualnya kembali kepada peniaga Bumiputera dan restoran-restoran di sekitar Alor Setar. Beliau berjaya dalam perniagaan itu. Kejayaan itu menambahkan keyakinan beliau bagi memajukan diri dalam dunia perniagaan.

Daripada perniagaan menjual daging, beliau beralih pula kepada perniagaan pengangkutan. Pada tahun 1972, beliau berjaya mendapat permit bagi empat buah lori Kelas A. Beliau mendapat bantuan pinjaman sebanyak RM110,000 daripada pihak MARA yang digunakannya bagi membeli dua buah lori Mercedes 911LS.

Sebenarnya, seorang peniaga Cina menawarkan sejumlah wang bagi baki dua permit yang tidak digunakannya. Tan Sri Syed Mokhtar enggan dan menyerahkan permit itu kembali kepada MARA. Selepas membeli dua buah lori itu, Tan Sri Syed membuka syarikat pengangkutan yang dinamakan Syarikat Pengangkutan Sentosa dan melantik kerani Cina sebagai pengurus syarikatnya itu.

Tan Sri Syed Mokhtar menggunakan lori-lorinya bagi memulakan perniagaan beras. Syarikat Kenderaan Sentosa masih wujud sehingga ke hari ini dan memiliki lebih daripada 40 buah lori.

Menubuhkan syarikat

Pada tahun 1974, Tan Sri Syed Mokhtar membeli rumah kedainya yang pertama di Jalan Telok Wan Jah di bawah perjanjian sewa beli dengan UDA atau Perbadanan Kemajuan Bandar.

Seterusnya, pada tahun 1975, beliau menubuhkan Syarikat Shah dan memohon lesen perdagangan beras daripada Lembaga Padi Negara yang kini dikenali sebagai Bernas. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Dia berjaya mendapat kontrak bagi membekalkan beras ke pihak FELDA, MARA Senama, Pernas Edar dan juga Sergam Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor.

Selepas berjaya dengan Syarikat Shah, beliau menubuhkan syarikat usaha sama dengan dua orang peniaga Cina, iaitu Ng Ghiak Gee dan Chua Chong Tan. Ghiak Gee adalah pedagang beras manakala Chong Tan pula pengilang beras.

Dalam syarikat usaha sama itu, Tan Sri Syed Mokhtar memegang 52 peratus kepentingan manakala Ghiak Gee dan Chong Tan masing-masing 32 peratus dan 16 peratus. Perniagaan usaha sama yang diberi nama Bukhary Sdn. Bhd. itu memulakan operasinya pada 15 Julai 1976, di pejabatnya di Jalan Telok Wan Jah.

Perniagaan terus berkembang

Daripada beras, beliau kemudiannya mengembangkan perniagaannya kepada komoditi lain, iaitu gula. Ini masih dijalankan sehingga ke hari ini melalui Bukhary Sdn. Bhd. Pendapatan tahunan Bukhary Sdn. Bhd. kini mencecah RM250 juta.

Setahun selepas Bukhary Sdn. Bhd. memulakan operasinya, beliau menubuhkan Bukhary (KL) Sdn. Bhd. pada tahun 1977. Syarikat itu ditubuhkan khas bagi mendapatkan kontrak kerajaan yang pada masa itu banyak ditawarkan kepada usahawan Bumiputera. Operasi Bukhary (KL) Sdn. Bhd. dijalankan di rumah kedai empat tingkat di Jalan Pahang yang juga dibeli melalui perjanjian sewa beli dengan UDA. Usahanya membuahkan hasil lagi.

Tan Sri Syed Mokhtar diberikan kontrak bagi membekalkan beras, teh, tepung coklat, tepung susu dan juga minyak sapi kepada kerajaan. Bahagian bawah pejabatnya diubah suai menjadi pusat pembungkusan.

Apabila beliau mendapat kontrak pembekalan itu, Tan Sri Syed Mokhtar menubuhkan Susu Mas Sdn. Bhd. pada tahun 1979. Syarikat itu juga adalah syarikat usaha sama di antara dirinya yang memegang 51 peratus kepentingan dengan New Zealand Milk Products yang memegang saham selebihnya. Produk Susu Mas Sdn. Bhd. dipasarkan di bawah jenama Fernleaf dan Anchor.

Pada pertengahan tahun 80-an, Tan Sri Syed Mokhtar menjual kepentingannya dalam Susu Mas Sdn. Bhd. ekoran kemelesetan ekonomi.

Strategi tersendiri

Pada tahun 1978, beliau dijemput menyertai delegasi perdagangan ke Ekso Perdagangan Canton, China. Semasa berada di China, Tan Sri Syed Mokhtar menjalankan sistem barter, iaitu menukarkan kokonya dengan teh dari China. Cuma bezanya sistem barter zaman sekarang dijalankan secara besar-besaran atau pukal. Contohnya, menukarkan 1 tan minyak sawit dengan 1 tan minyak mentah.

Perniagaan pakaian

Selepas mengembangkan perniagaannya bermula daripada bidang komoditi ke pengangkutan, pembungkusan dan barter, beliau kemudiannya melangkah kepada sektor pembuatan.
Ini ekoran kejayaannya mendapat kontrak membuat pakaian seragam tentera bagi pihak Kementerian Pertahanan. Kontrak itu adalah bagi membekalkan pihak tentera dengan 120,000 pasang kasut dan 330,000 pasang pakaian seragam. Apabila berjaya mendapat kontrak itu, beliau mula mencari pembekal. Pada mulanya, beliau membeli secara terus daripada pengilang.

Selepas membeli daripada pengilang, beliau kemudiannya membuat keputusan menubuhkan dua buah syarikat, iaitu Amtek Holdings bagi mengeluarkan kasut dan Oriental Garments Uniform Division bagi mengeluarkan pakaian. Oriental Garments Uniform Division adalah syarikat usaha sama dengan Oriental Garment yang berpusat di Seberang Prai.
Apabila Amtek Holdings disenaraikan di Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur pada tahun 1998, beliau menggunakan wang penyenaraian yang diperolehnya bagi membeli Spark Manshop dan hak bagi mengeluarkan dan memasarkan pakaian berjenama Crocodile. Kini, anak syarikat Amtek Holdings mengeluarkan kasut tentera (Amtek Shoes) dan pakaian berjenama Lee Coopers dan Lois (Amtek Garments Sdn. Bhd.) bagi pasaran eksport.

Perniagaan perkapalan

Tidak cukup dengan perniagaan pakaian, beliau juga bergiat dalam perniagaan perkapalan. Beliau menubuhkan Bukhari Shipping dan mendaftarkannya dengan pihak Perbendaharaan. Bukhari Shipping bertindak sebagai broker kapal di bawah polisi CABOTAGE. Melalui Bukhari Shipping, Tan Sri Syed Mokhtar membeli sebuah kapal buatan Jerman yang berusia 28 tahun pada harga USD1 juta.

Kapal yang diberi nama Angsa Mas itu digunakan bagi mengangkut beras dari Thailand ke Sabah dan Sarawak. Walau bagaimanapun, perniagaan itu mengalami kerugian yang menyebabkan beliau terpaksa menjual kapalnya pada harga USD600,000, iaitu rugi sebanyak USD400,000 (USD1 juta – USD600,000).

Pada masa yang sama, beliau mula membabitkan diri dalam sektor pembangunan hartanah. Beliau membeli beberapa bidang tanah di Alor Setar dan memulakan beberapa projek perumahan di bawah syarikat Bukhary Development.

Penglibatan dalam projek penswastaan

Beliau terlibat dalam projek penswastaan Johor Port Sdn. Bhd. dan Johor Tenggara Oil Palm Sdn.Bhd. Beliau membeli Johor Port melalui tender pada harga RM330 juta. Johor Tenggara Oil Palm Sdn. Bhd. pula dibelinya pada harga RM135 juta. Melalui Johor Port Sdn. Bhd., beliau menjayakan projek Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Kini, Pelabuhan Tanjung Pelepas semakin maju hingga mereka berjaya meyakinkan dua buah syarikat perkapalan antarabangsa, iaitu Maersk Sealand dari Denmark dan Evergreen Marine dari Taiwan supaya berpindah dari Pelabuhan Singapura ke Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Projek penswastaan ketiganya adalah penswastaan air yang mana beliau menubuhkan Equiventure Sdn. Bhd., iaitu syarikat usaha sama di antara syarikatnya, Kem-bangan Dinamik dan Pilecon Bhd. serta syarikat Perancis, Oneo. Pegangan Kembangan Dinamik dalam syarikat itu adalah sebanyak 49 peratus.

Kepentingan

Beliau membeli MMC Corporation, iaitu syarikat kejuruteraan pada harga RM3 sesaham daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB). Tan Sri Syed Mokhtar juga memiliki 22.7 peratus pegangan dalam Malakoff Berhad, iaitu syarikat pembekalan elektrik dan 20 peratus pegangan dalam IJM Corporation Berhad di mana perniagaan utamanya adalah pembuatan.

Selain itu, beliau memiliki 18 peratus pegangan dalam Bernas yang terlibat dalam perdagangan beras dan 32 peratus pegangan dalam Pernas International Holdings Berhad, iaitu konglomerat yang terlibat dalam banyak sektor perniagaan. Manakala 18.7 peratus pegangan dalam Fiamma Holdings Berhad, syarikat pemasaran dan pengedaran barangan elektronik serta 100 peratus kepentingan dalam MPH, iaitu syarikat peruncitan dan pengedaran buku.

Objektif penubuhan Yayasan al-Bukhary

Yayasan al-Bukhary ditubuhkan pada Mac 1996 sebagai badan kebajikan yang berperanan membantu golongan miskin, menyokong perkembangan seni dan budaya Islam dan juga menggalakkan persefahaman antara peradaban.

Antara objektif utama Yayasan al-Bukhary adalah menggalakkan persaudaraan sesama Islam. Yayasan ini terdiri daripada dua buah bahagian. Satu bahagian menjalankan kerja-kerja kebajikan manakala satu ba-hagian lagi menguruskan penyaluran dana daripada setiap syarikat yang mana Tan Sri Syed Mokhtar ada kepentingan di dalamnya.
Sehingga kini, Yayasan al-Bukhary membelanjakan lebih RM300 juta bagi aktiviti keagamaan, kebudayaan dan pendidikan. Selain itu juga, Yayasan al-Bukhary hanya membiayai pelajar miskin. Antara inisiatif yang dilakukan adalah membiayai pelajar Muslim miskin dari serata ASEAN supaya belajar di Malaysia.

Projek-projek utama Yayasan al-Bukhary

Antara projek terbesar yang sedang dijalankan adalah pembinaan Kompleks al-Bukhary yang bernilai RM400 juta di Kedah yang dijangka siap pada akhir tahun 2004. Kompleks itu kelak memainkan peranan sebagai kompleks yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti masjid, pusat perubatan, pusat komuniti, rumah anak yatim, akademi khas bagi warga tua dan pusat pengajian tinggi.

Antara projek besar yang disiapkan adalah Muzium Kesenian Islam Malaysia di Kuala Lumpur yang bernilai RM100 juta. Muzium empat tingkat itu adalah muzium pertama di rantau Asia Pasifik yang memaparkan hasil seni Islam. Yayasan al-Bukhary juga membina 12 buah masjid di serata negara.

Sumbangan dalam bidang pendidikan

Pada tahun 2000, Yayasan al-Bukhary mendermakan sejumlah RM7.75 juta kepada Oxford Centre for Islamic Studies, iaitu pusat pengajian Islam yang terkenal di serata dunia. Yayasan al-Bukhary juga kini sedang membantu Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dalam projek bagi mengasaskan Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) di Sungai Petani, Kedah.
Selain itu, Yayasan al-Bukhary juga sering mengadakan dialog peradaban bagi menggalakkan toleransi dan persefahaman antara masyarakat berbilang agama dan kepercayaan.

Penglibatan Yayasan al-Bukhary dalam projek yang dimulakan oleh bukan Islam juga terserlah. Walaupun Yayasan al-Bukhary lebih menekankan kepada projek kebajikan yang bercirikan Islam, ia tetap menyumbang kepada projek yang dijalankan oleh organisasi bukan Islam. Contohnya, Yayasan al-Bukhary menyumbang sebanyak RM satu juta bagi Projek Langkawi, iaitu projek yang dimulakan oleh MCA bagi mengumpul dana bagi menjalankan projek pendidikan di luar bandar dan juga memberi biasiswa kepada para pelajar yang kurang mampu.

Tan Sri Syed adalah usahawan Bumiputera yang terkaya di Malaysia dengan kekayaan yang bernilai RM1.67 bilion.

Category : Inspirasi Kejayaan | Blog